ISTILA ILMU &HADIS

1. HadisHadis berasal dari perkataan al-Hadits bermaksud 'baru' atau 'kata-kata'. Dari segi istilah, bermaksud, sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau sifat.
2. Al-KhabarAl-Khabar dari segi bahasa bermaksud al-Nabak, iaitu berita. Dari segi istilah ia terbahagi kepada tiga maksud:a. Sama makna dengan hadis, iaitu sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w sama ada berbentuk perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat.b. Sesuatu yang berlawanan dengan maksud hadis, iaitu perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat yang datang daripada selain baginda.c. Sesuatu perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat yang datang daripada baginda atau selain baginda.
3. Al-AtsarDari segi bahasa bermaksud kesan sesuatu. Manakala dari segi istilah pula, ia bermaksud, sesuatu perkataan atau perbuatan sahabat dan tabiin.4. SanadDari segi bahasa bermaksud, tempat sandaran. Manakala dari segi istilah pula iaitu, urutan atau rantaian para perawi hadis yang bersambung sehingga kepada matan (isi kandungan) hadis.
5. MatanDari segi bahasa bermaksud sesuatu yang keras dan tinggi daripada permukaan bumi. Dari segi istilah pula, iaitu sesuatu yang terletak di akhir sanad atau dalam bahasa mudahnya, isi kandungan atau inti pati hadis yang biasanya terletak selepas nama perawi terakhir dalam satu hadis. 6 MutawatirMutawatir dari segi bahasa bermaksud berturut-turut. Dari segi istilah, Hadis Mutawatir bermaksud, hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w oleh ramai perawi sama ada di kalangan sahabat, tabiin, tabi' tabiin atau selepas itu. Sehinggakan mustahil pada adatnya kita boleh menutuh kesemua mereka berbohong. Contoh Hadis Mutawatir ialah sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa yang berbohong ke atasku dengan sengaja, maka tempahlah tempatnya di dalam api neraka."
7. AhadAhad dari segi bahasa bermaksud satu. Dari segi istilah pula, hadis yang tidak mencapai darjat Hadis Mutawatir. Kebanyakan hadis yang sampai kepada kita termasuk Hadis Ahad. Ia boleh jadi sahih, hasan ataupun daif. Jika bermartabat sahih atau hasan, ia menjadi hujah dalam syarak. Jika sebaliknya, ia tidak boleh dijadikan pegangan. 8. SahihSahih dari segi bahasa bermaksud, sihat, iaitu berlawanan dengan sakit. Dari segi istilah, hadis yang bersambung sanadnya daripada perawi yang adil (tidak berterusan melakukan dosa kecil dan menghindari dosa besar), kuat daya ingatan, daripada mula sanad sehingga akhir, tanpa keganjilan atau kecacatan yang boleh menggugat kesahihan hadis. 9. HasanHasan dari segi bahasa bermaksud hadis yang baik. Dari segi istilah pula, hadis yang diriwayatkan secara bersambung sanadnya oleh perawi yang adil (tidak berterusan melakukan dosa kecil dan menghindari dosa besar), kurang sedikit daya ingatannya berbanding perawi hadis sahih, daripada mula sanad sehingga akhir, tidak ganjil dan tidak ada kecacatan yang boleh menggugat kesahihan hadis. 10. DaifDaif dari segi bahasa, lemah atau sesuatu yang berlawanan dengan kuat. Dari segi istilah pula, hadis yang tidak sampai kepada martabat hasan kerana tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
11. Maudhu' (Palsu)Hadis Mudhu' atau hadis palsu ialah sesuatu perkataan, perbuatan, pengakuan atau sifat yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w secara dusta. Sedangkan hakikatnya baginda tidak ada kaitan dengan semua itu.
12. Hadis QudsiHadis Qudsi ialah sesuatu yang disandarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada ALLAH. Ia dinamakan hadis qudsi (suci) kerana ia berbeza dengan hadis-hadis yang biasa kita dengar daripada Nabi s.a.w; di mana baginda menyandarkan kata-kata baginda terus kepada ALLAH.Al- sayyid al-Sharif al-Jurjani (w 816 H.) memberikan takrifan berikut kepada hadis qudsi: "Hadis yang suci, maksudnya datang daripada ALLAH, perkataannya daripada baginda sendiri. Ia melalui wahyu atau mimpi tetapi disampaikan oleh baginda mengikut perkataannya sendiri." Ia tidak sama dengan al-Quran kerana kitab suci itu diturunkan oleh ALLAH melalui perkataan dan maksud daripada ALLAH sendiri. Al-Quran diturunkan secara mutawatir (tidak tiragui sama sekali isi kandungannya). Sedangkan hadis Qudsi terdapat yang sahih, hasan dan daif dan palsu. Contoh hadis qudsi:Daripada Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w melalui apa yang diriwayatkan daripada TUHANnya:"Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-KU. Maka AKU sendiri yang akan membalasnya. – Riwayat al-Bukhari.13. SunnahDari segi bahasa, ia bermaksud, jalan atau cara. Sementara dari segi istilah pula, para ulama berbeza pendapat dalam memberikan takrifannya. Menurut Ulama Usul Fiqh:Sesuatu yang bersumberkan Rasulullah s.a.w sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau pegakuan.Menurut Ulama Hadis:a. Sebahagian mereka memberikan takrifan yang sama dengan ulama usul fiqh di atas.b. Merangkumi perkatan, perbuatan, dan pengakuan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabiin.Menurut Ulama Fekah:Sama maksud dengan sunat, iaitu suatu amalan yang tidak wajib dilakukan tetapi, jika ia dilakukan akan disukai ALLAH dan mendapat pahala di sisi-NYA. 14. Bid'ahBidaah dari segi bahasa menurut al-Raghib al-Asfahani, melakukan sesuatu tanpa contoh atau teladan. Contoh bid'ah (mencipta) ialah membuat pembangunan, teknologi canggih, kereta, internet, kemajuan dan sebagainya merangkumi rekaan terkini. Dari segi istilah pula, iaitu mengaitkan kepada agama sesuatu yang bukan daripadanya. Atau dengan kata lain, memasukkan sesuatu ke dalam agama sedangkan ia sebenarnya bukan daripada agama.Setiap ciptan baru yang dikaitkan dengan agama dianggap bid'ah dari segi bahasa dan istilah. Tetapi, jika ciptaan itu tidak dikaitkan dengan agama atau syariat, seperti ciptaan-ciptaan moden yang terkini, maka ia dianggap bid'ah dari segi bahasa bukan istilah syarak.15. Hadis ThabitMenurut ulama hadis, hadis thabit ialah semua jenis hadis sahih dan hadis hasan pada menilaian ulama hadis. (Rujuk: Sifat Solat al-Nabi, ms: 16).

PERBEZAAN AL-QURAN & HADIS

Sabda Nabi saw : "Bukankah aku telah didatangi al-Kitab dan seumpamanya bersamanya". Sepertimana yang dipetik dari kata al-Khitabi hadis ini memberi salah satu makna iaitu bahawa Rasulullah saw didatangi wahyu berbentuk batin yang tidak dibacakan sama dengan keadaan wahyu yang diberi kepada Baginda dengan bentuk zahir yang dibacakan.Itulah al-Quran dan Hadis Qudsi. Al-Quran diwahyukan kepada Baginda dengan lafaz dan makna, dan hadis Qudsi diwahyukan kepada Baginda dengan makna tanpa lafaz.Para ulama telah menyatakan perbezaan di antara keduanya dalam 10 perbezaan seperti berikut :1) Al-Quran hanya diwahyukan dengan secara jelas, datangnya Jibril as kepada Baginda saw dalam keadaan yang sedar, tiada datang dengan melalui ilham atau mimpi, adapun Hadis Qudsi boleh dengan secara jelas ataupun tidak.2) Al-Quran berperanan sebagai mu'jizat untuk golongan manusia dan jin, mencabar dengan sependek-pendek surah darinya, dan terpelihara dari perubahan dan penggantian, adapun Hadis Qudsi tidak seperti semua itu.3) Al-Quran dianggap ibadah ketika membacanya samada faham atau tidak, diberi pahala kepada pembacanya satu huruf dengan sepuluh kebaikan, adapun Hadis Qudsi tidak dianggap sebagai ibadah ketika membacanya dan hanya diberi pahala umum ketika membacanya dengan tujuan untuk belajar.4) Al-Quran diharamkan meriwayatkannya dengan makna semata-mata, adapun Hadis Qudsi boleh diriwayatkan dengan makna sahaja sama seperti hadis yang lain.5) Al-Quran diharamkan ke atas orang yang berhadas untuk menyentuhnya dan orang yang berjunub untuk membacanya, adapun Hadis Qudsi sebaliknya.6) Al-Quran dinukilkan kepada kita dengan jalan mutawatir sehingga kepada Baginda saw, adapun Hadis Qudsi telah diriwayatkan secara ahad dari Baginda saw.7) Al-Quran diminta baca di dalam sembahyang dan tidak sah sembahyang seseorang jika meninggalkan bacaan al-Quran (khusus surah al-Fatihah), adapun Hadis Qudsi tidak diminta untuk baca dalam sembahyang sama sekali.8) Penentang al-Quran adalah kafir, berbeza dengan Hadis Qudsi penentangnya adalah fasiq.9) Lafaz al-Quran adalah dari Allah swt sebagaimana yang disepakati oleh ulama adapun Hadis Qudsi harus dari lafaz Nabi saw sendiri.10) Al-Quran terdiri dari ayat-ayat dan surah-surah adapun Hadis Qudsi tidak.

Wajib beramal dengan sunnah Nabi

Keberadaan hadis sebagai sumber kedua syariat Islam amat penting untuk dijadikan sandaran dan pegangan kepada umat Islam baik melalui ucapan, perbuatan atau pengakuan baginda SAW. Walaupun dari semasa ke semasa muncul konspirasi atau muamarah golongan tertentu yang cuba memusuhi Islam sering mempertikaikan peranan hadis sebagai sumber agama Islam lantaran mereka terjebak dengan kejumudan ilmu dan berleluasanya gejala taklid.
Setiap usaha atau pemikiran untuk mengganggu-gugat keberadaan hadis dan keautoritiannya sebagai sumber kedua syariat Islam pada masa yang sama membuktikan wujudnya sikap pesimis musuh-musuh Islam terhadap kebenaran al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Meskipun telah jelas bahawa untaian sabda baginda merupakan wahyu daripada Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu, tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau Hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepada-Nya. (al-Najm: 2-4)
Pemahaman negatif sesetengah golongan menyeleweng bahawa agama Islam terdiri dari isi dan kulit seperti firqah al-Batiniyyah dan dakwaan yang tidak berasas dengan mendakwa bahawa hadis Rasulullah tidak sesuai dipraktikkan dalam arus modenisasi masa kini (seperti yang disuarakan oleh aliran liberal dengan berumpankan istilah-istilah mengelirukan seperti liberalisme dan pluralisme agama.
Pada masa yang sama mengagungkan penggunaan metod-metod Barat yang dalam kajian keagamaan (al-Quran dan hadis) berbanding metod-metod yang diaplikasikan oleh para ulama Islam jelas membuktikan betapa negatif pemikiran dan penghayatan mereka dalam memahami Islam dan situasi ini amat membimbangkan umat Islam.
Rasulullah SAW dalam sabda-Nya pernah mengatakan: "Sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafah al-Rashidin al-Mahdiyyin, gigitlah ia sekuat hati dengan gigi geraham dan hendaklah kamu jauhi perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama) kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah sesat". (Sahih Sunan Abi Dawud no: 4607)
Pegangan yang paling tepat untuk dijadikan benteng oleh seorang muslim dalam melayari sebuah kehidupan pada akhir zaman yang penuh fitnah ialah sentiasa berpegang dan beramal dengan petunjuk Rasulullah SAW dan mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian.
Hal ini kerana matlamat terakhir seorang mukmin adalah memperolehi hidayah Allah SWT yang dapat membawanya mengecapi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Firman Allah yang bermaksud:
l Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk; dan (sebenarnya) Rasulullah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata. (al-Nur: 54)
l Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)
l Perkara yang wajib dilakukan oleh setiap hamba di dalam menjalani agamanya ialah mengikuti apa yang dikatakan oleh Allah SWT. Juga apa yang dibawa dan dikatakan oleh baginda SAW serta ajaran para al-khulafah al-Rashidin dan pengikut mereka yang setia.
Allah SWT telah mengutus Rasulullah SAW dengan membawa bukti-bukti dan petunjuk. Allah SWT mewajibkan kepada seluruh manusia untuk beriman kepada baginda SAW dan mencontohinya. Setiap muslim wajib melaksanakan syariat Islam secara keseluruhan dan tidak sebahagian sahaja.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (al-Baqarah: 208)
Seorang mukmin yang berpegang teguh dengan sunnah Nabi SAW berbekalkan ketakwaan dan ketinggian ilmu, nescaya dia akan mengecapi halawah iaitu kenikmatan manfaat dunia dan agama yang melimpah-ruah.
Kemuliaan dan ketinggian seorang mukmin diukur melalui tingginya tingkat ketakwaan kepada Allah SWT dan penguasaan ilmu yang dimiliki. Semakin tinggi pemahaman seorang mukmin terhadap sunnah, maka semakin besar kemungkinannya untuk mempraktikkan sunnah tersebut menepati tuntutan agama Islam.
Ibn Hibban rahimahullah berkata: "Sesungguhnya dalam perkara berpegang dengan sunnah seseorang akan mengecapi tingkat keselamatan yang sempurna, karamah yang besar, yang tidak akan padam pelitanya dan tidak akan terbantah hujahnya. Sesiapa yang berpegang teguh dengannya akan terjaga dan sesiapa yang menyelisihinya pasti dia menyesal kerana sunnah merupakan benteng yang kukuh, tonggak yang kuat, yang jelas keutamaannya dan kuat ikatannya. "Sesiapa yang berpegang teguh dengannya pasti berjaya, namun yang mengingkarinya pasti binasa. Orang yang berpegang teguh dengan sunnah adalah orang-orang yang mengecapi kebahagiaan pada masa yang akan datang (di akhirat) dan sekali gus orang-orang yang diulit kegembiraan di dunia". (al-Ihsan Fi Taqrib Sahih Ibn Hibban 1/102).
Justeru, menghidupkan kembali keautoritian dan keizzahan sunnah yang seakan-akan telah ditinggalkan oleh umat Islam masa kini amat mustahak. Dalam hubungan sosialisasi manusia pula, sunnah sewajarnya ia dipraktikkan dengan penuh kebijaksanaan dan tidak menyukarkan masyarakat dengan persoalan yang tidak mereka maklum dan fahami, tidak menganggap remeh persoalan sunnah dan tidak pula bertindak ekstrem untuk terus mempraktikkannya.
Sebagai langkah permulaan memadai konsep al-wasatiyyah diterjemahkan dan diaplikasikan dalam pengamalan setiap perkara menurut skala keutamaan dan keperluan yang dikehendaki oleh agama Islam. Setiap cabang persoalan sewajarnya diperhatikan sesuai dengan kadarnya.
Al-Imam Al-Hakim mengatakan: "Suatu kaum yang menempuh jalan orang-orang soleh serta mengikuti athar generasi yang telah lampau (salaf). Mereka menewaskan para ahli bidaah, orang-orang yang menyimpang dari jalan sunnah Rasulullah SAW.
"Akal-akal mereka dipenuhi dengan kelazatan sunnah dan hati-hati mereka penuh dengan keredaan dalam apa jua situasi. Mempelajari sunnah adalah kesenangan mereka dan majlis-majlis ilmu adalah kesukaan mereka. Dan ahli sunnah tanpa kecuali, adalah saudara-saudara mereka. Dan orang-orang yang menyimpang dari jalan kebenaran serta ahli bidaah seluruhnya adalah musuh-musuh mereka". (Ma'rifat Ulum al-Hadith)
Sunnah wajib kembali ditegakkan dan diagungkan di tengah-tengah kehidupan umat, hingga mereka akhirnya menjadikan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi kecintaan kepada siapapun.
Hal ini kerana keimanan seseorang itu tidak akan sempurna, sehingga dia mencintai Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap siapapun. Sabda Rasulullah SAW: Tidak beriman seseorang di antara kalian, sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada bapa-bapanya, anak-anaknya dan manusia keseluruhannya. (Muttafaq alaih)
Sehubungan itu, menjadi kewajipan ke atas setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya untuk sentiasa berupaya meniti jalan kehidupan di atas manhaj dan jalan yang telah Rasulullah SAW persembahkan dan tinggalkan sebagai wasiat terakhir dan warisan abadi kepada umat Islam selaku umatnya.
Umat Islam perlu berusaha dan membina jati diri cemerlang dalam gerak kerja untuk mengamal dan melestarikankan sunnah di samping mendukung dan memberi taat setia (wala') kepada mereka yang memperjuangkan sunnah Rasulullah SAW.
Al-Imam Al-Suyuti mengatakan, sesiapa yang tidak mengakui sunnah atau hadis sahih maka dia akan dikumpulkan pada hari akhirat kelak bersama orang-orang Yahudi dan Nasrani.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Aku telah tinggalkan kepada kamu perkara yang sekiranya kamu tetap berpegang teguh kepadanya maka sudah pasti kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya (hadis)".
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

my song