AHKIRNYA .................sekian lama ana x masuk blog sbb ana lupa password ..huhuuhu ..
tp alhmdulilah ...ana dpt masuk balik ....
hihihih salam semua.....

Makna Air Mata Insan

PERNAHKAH anda menangis?

Jika menangis, apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri. Allah yang menciptakan ketawa dan tangis. Banyak air mata mengalir di dunia ini.

Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti. Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:

1. Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
2. Menangis kerana rasa takut.
3. Menangis kerana cinta.
4. Menangis kerana gembira.
5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6. Menangis kerana terlalu sedih.
7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10. Menangis orang munafik yakni pura-pura menangis.

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka. Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis.

Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu: Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat. Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya. Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud:

Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu.
1. Apabila dahinya berpeluh.
2 Air matanya berlinang.
3. Hidungnya keluar cecair.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t. Justeru, serulah air mata itu daripada persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis, membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahwa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

4. Orang lelaki yang melarikan diri.

5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba'.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."

Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Bersikap zalim sesama manusia perbuatan terkutuk, dimurkai

ZALIM ialah satu perbuatan terkutuk yang sangat dilarang oleh agama Islam. Perbuatan itu sangat dimurkai Allah serta dilarang keras Nabi Muhammad SAW kerana zalim menafikan hak yang sepatutnya menjadi milik seseorang.

Al-Quran mengandungi banyak ayat menyentuh larangan dan kesan perbuatan itu sama ada membabitkan si pelaku zalim, mangsa kezaliman, kesan kepada kezaliman itu sendiri dan perbuatan menzalimi diri sendiri.

Antaranya, suami yang merujuk isteri dengan niat mendatangkan mudarat. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu kemudian mereka (hampir) habis tempoh edahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik dan janganlah kamu pegang (rujuk) mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka) dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya (menzalimi) dirinya sendiri.” (Surah al-Baqarah, ayat 231)

Perbuatan Nabi Adam dan Hawa menghampiri dan memakan buah larangan di syurga juga adalah kezaliman yang berlaku disebabkan hasutan syaitan hingga mereka terpedaya lantas dikeluarkan dari syurga.

Kisah itu diceritakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Mereka berdua merayu, wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami dari kalangan orang yang rugi.” (Surah al-A’raaf, ayat 23)

Sejarah pembinaan Masjid Dhirar juga adalah contoh perbuatan zalim kerana Masjid Dhirar ialah masjid yang sengaja didirikan golongan munafik bukan atas sifat takwa tetapi bertujuan memecah belah masyarakat Islam di Madinah. Ia juga bagi menyaingi Masjid Quba’ yang menjadi lambang perpaduan umat Islam di sana.
Firman Allah yang bermaksud: “Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikan di atas dasar takwa kepada Allah (untuk mencari) keredaan Allah (Masjid Quba) itu lebih baik, atau orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan ingatlah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang yang zalim.” (Surah al-Taubah, ayat 109)

Firaun memang seorang raja yang terkenal dengan kejahatan dan kezalimannya. Beliau dianggap zalim kerana menolak dakwah Nabi Musa, mencabar kekuasaan Allah, mendakwa diri sebagai Tuhan, membunuh anak lelaki dan sebagainya. Banyak ayat al-Quran menceritakan mengenai sifatnya dan kaumnya yang durjana itu dengan sanggup memusuhi Nabi Allah Musa, malah menentang Allah.

Oleh itu, zalim adalah dilarang dan Rasulullah SAW dalam banyak hadis Baginda menegaskan kesan daripada perbuatan zalim seperti doa mereka yang dizalimi akan dimakbul dan diterima Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tolonglah saudaramu, baik ia orang yang zalim, mahupun yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya, wahai Rasulullah, kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana untuk kami menolong orang yang zalim? Nabi menjawab: Kamu tegahlah ia daripada melakukan kezaliman.”
Rasulullah SAW juga berpesan supaya menjauhi perbuatan zalim dalam sabda yang bermaksud: “Jauhilah kezaliman, kerana ia (akan mengakibatkan) kegelapan di hari kiamat dan jauhilah sifat bakhil, kerana ia suatu sifat yang membinasakan umat terdahulu sebelum kamu.”

Sesungguhnya perbuatan zalim amat buruk kesannya kepada manusia keseluruhannya. Kezaliman Namrud disudahi dengan kematian yang cukup tragis hanya disebabkan nyamuk kecil. Firaun yang mengaku diri Tuhan mati dalam keadaan tenggelam dan memohon keampunan Allah.

Ibu bapa, masyarakat mentor didik anak berbudi bahasa


BUKAN mudah mendidik insan menjadi santun, tidak semudah menyampaikan ilmu di dalam bilik kuliah. Kalaupun boleh diajar, ia tidak cukup sekadar memberitahu, tetapi mesti dibimbing dan dilatih selain memerhati dan menghayati budaya dan adab diamalkan orang sekeliling.

Selain itu kehendak dan keinginan seseorang membina sahsiah diri akan memudahkan pembentukan akhlak mulia kerana perubahan yang berlaku kerana ikhtiar sendiri lebih bermakna berbanding usaha dilakukan orang lain.

Kita maklumi bahawa setiap ibu bapa mendidik anak sedari kecil menjadi orang yang berbudi bahasa dan bersopan santun. Orang yang merendah diri dan berhemah tinggi lebih mudah membimbing anak menjadi insan yang luhur hatinya kerana proses tarbiyah itu berlaku bukan hanya secara lisan, tetapi juga berterusan kerana ibu bapa menjadi mentor yang paling dekat di hati anak untuk dicontohi.

Teladan diperoleh sejak awal proses pentarbiayahan sangat memberi makna kepada ingatan anak. Kata-kata yang baik didengari dari ibu bapa menjadi ikutan yang sebati dalam diri mereka, sekali gus membina asas komunikasi yang lembut dan santun dalam diri seseorang.

Begitu juga jika sebaliknya, sumpah seranah, umpat keji dan maki hamun yang menjadi ‘ulam’ bicara sejak anak mula mengenali dunia menjadikan mereka terikut dengan kata sedemikian, malah tidak pula merasai satu kehinaan apabila keaiban saudara mukmin yang lain dijadikan topik bicara, malah berbangga menjadi penyampai namimah, atau adu domba.

Perantaraan komunikasi yang tiada batasan pada hari ini memungkinkan banyak budaya dan adab bertutur kata boleh dicontohi. Sebaik-baik bicara dari lidah ibu bapa dan guru yang didengari secara langsung mendidik golongan pelajar mencontohi tutur bicara yang baik, tetapi ia tidak menjamin seseorang itu terus istiqamah dalam zon yang baik jika masyarakat atau orang sekeliling menunjukkan teladan kata yang tidak molek.

Ia menjadi satu cabaran yang besar kepada setiap ibu bapa dan pendidik pada hari ini untuk menunjukkan teladan yang baik kerana pada masa sama segelintir pelajar atau golongan muda sangat mudah terpengaruh dengan budaya hidup samseng, pembawaan cara ‘moden’ yang mengikut arus, sehingga mengetepikan adab sopan dalam pergaulan dan perkataan.

Hakikatnya, seseorang yang memahami ajaran Islam tidak akan menjadikan kemampuan ‘berkata-kata’ yang dianugerahkan Allah SWT untuk mencaci dan mencela orang lain. Bahkan mengerti bahawa perbuatan itu adalah satu bentuk kefasikan yang akan merosakkan peribadi seorang Muslim yang menghambakan diri kepada Allah SWT, sebagaimana hadis Rasulullah SAW disepakat yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud RA mafhumnya: “Mencela orang Muslim adalah kefasikan dan membunuhnya adalah kekufuran”.

Adat kebiasaan menjadikan manusia alah pada bisanya. Sesuatu perkara yang aneh akan menjadi biasa jika dilakukan setiap hari, begitu jugalah perbuatan keji dan tutur kata kotor. Allah tidak menyukai orang yang melakukan perbuatan keji dan berkata jelik kerana ia menggambarkan bahawa hati dan perasaan makhluknya tidak mendapat hidayah rabbaniyah yang sepatutnya terbenam di dalam benak setiap orang Islam.

Meneladani Rasulullah yang baik dalam perbuatan dan ungkapan tentulah idaman setiap umat baginda termasuk kita. Baginda tidak pernah menyakitkan hati orang lain ataupun mencemarkan kehormatannya dengan tutur kata yang tidak sopan walaupun terhadap musuhnya dan musuh Allah SWT. Ia sesuai dengan tujuan baginda diutuskan ke dunia, iaitu sebagai rahmat ke atas sekalian alam dan bukan sebaliknya. Anas bin Malik r.a mengatakan bahawa Rasulullah tidak pernah memaki hamun, berkata-kata kotor atau mengherdik. Ketika hendak menegur, Baginda hanya mengatakan “Semoga dia memperbanyakkan sujud.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bahkan Abu Hurairah RA pernah meminta Rasulullah melaknati orang Musyrik, tetapi Baginda Rasulullah menjawab yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, tetapi aku diutus sebagai rahmat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Generasi muda hari ini perlu disedarkan berlemah lembut sesama insan, sama ada dalam perlakuan atau perkataan supaya akhlak Islam tidak dipersenda dan ditertawa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

my song